Wednesday 20 February 2013

INGAT KEPADA ALLAH(ZIKRULLAH)

BUKAN PADA NAMANYA

Ingat kepada Allah(Zikrullah) itu, bukan dengan cara menyebut-nyebut nama. Ingat kepada Allah(Zikrullah) itu, bukan dengan cara membilang-bilang kebesaran-Nya. Juga ingat kepada Allah(Zikrullah) itu, bukan dengan cara mengira-gira puji-pujian kesucian. Allah tidak makan dipuji. Allah tidak terpengaruh dengan puji-pujian, sogokan atau ampu dari makhluk. Allah itu bersifat Maha Terpuji dan Maha Suci. Yang tidak perlu kepada usaha makhluk untuk mensuci akan Dia. Allah tidak perlu dibersih atau dicuci, kerana Allah itu sudah sedia suci dan sudah sedia bersih. Allah itu, tidak sedikitpun termakan bujukan serta rayuan makhluk. Allah tidak terpengaruh dengan memek muka sedih, tidak terpengaruh dengan linangan air mata makhluk!. Allah itu sifatnya berdiri dengan kakinya sendiri (Kiamuhu Binafsih), tanpa terpegaruh dengan bujuk rayu makhluk!. Sekalipun nama Allah itu, dipuja atau dipuji, tidak sekali-kali bertambah kerajaan Allah dan sekiranya nama Allah itu tidak sekali-kali disebut-sebut oleh bibir mulut makhluk, sedikitpun tidak berkurangan kerajaan Allah!.

Ingat Allah(Zikrullah) itu, bukan dengan cara menyebut-yebut namaNya. Pada asalnya Allah itu, tidak bernama dan tidak bergelaran apa-apa panggilan. Panggilan nama Allah itu, tercipta dan terpanggil sesudah keberadaan Nur Muhammad. Sebelum kejadian Nur Muhammad, Allah tidak bernama!. Setelah terciptanya Nur Muhammad, barulah nama Allah itu terpanggil dan tersebut. Tetapi harus diingat bahawa Allah itu, bukan nama panggil-panggilan!. Semasa Allah bersendirian, semasa sebelum kejadian Nur Muhammad, siapa hendak memanggil namanya sebagai Allah?. Seumpama seorang Raja yang ketiadaan rakyat, siapa yang hendak memangil nya sebagai Raja?. Begitu juga Allah. Pada mulanya Allah itu, tidak bernama, setelah adanya Nur Muhammad (atau adanya rakyat) , barulah Allah itu bernama. Ini menunjukkan kepada kita bahawa Allah itu, bukan nama!.

Allah itu bernama adalah pada bibir Nur Muhammad dan pada bibir-bibir makhluk!. Oleh itu, sedarlah wahai sekalian, marilah sama-sama kita “mencari ingat” kepada yang sebenar-benar Allah. Allah yang tidak berhuruf dan Allah yang tidak bersuara!. Tulisan atau perkataan Allah yang berupa huruf, yang tersangkut di dinding-dinding rumah atau yang di sangkut di cermin-cermin kereta, itu bukan Allah. Itu adalah tulisan, tulisan yang berupa lakaran huruf dari tangan makhluk!. Allah itu, bukan berupa tulisan, lakaran, ukiran atau berupa huruf. Apa yang kita tulis itu, adalah berupa dakwat beserta kertas. Sifat yang bilamana dibakar ia hangus dan bilamana direndam dia basah, itu adalah sifat makhluk, bukannya sifat Allah!. Allah itu, bilamana terbakar tidak hangus, bilamana direndam tidak basah!. Selagi terbakar dan selagi basah, itu bukan Allah. Jangan sekali-kali beriktikad bahawa suara halkum yang terzahir pada bibir mulut kita itu, adalah Allah!.

Allah bukan sesuatu tetapi nyata pada sesuatu!. ingat, ingat dan ingat, Allah bukan nya sesuatu tetapi nyata dan terzahir pada sesuatu!. Suara bibir yang menyebut perkataan Allah itu, adalah merupakan sesuatu. Sedangkan Allah bukan sesuatu!.
 
BUKAN PADA SIFAT ATAU NAMANYA (ALLAH TIDAK BERSIFAT)
Allah itu, tidak bersifat, Allah itu tidak berjirim dan Allah itu tidak berjisim. Barang atau perkara yang tidak berjirim atau berjisim, mana mungkin ada nama!. Setiap yang bernama itu, pasti ada sifat dan setiap yang bersifat itu, pasti nama!. Sedangkan Allah itu tidak bersifat, mana mungkin Allah itu ada nama!. (Barang yang tidak bersifat, pastinya tidak bernama. Barang yang tidak bernama, pasti tidak bersifat!). Sedangkan Allah Taala itu, tidak bersifat sebagaimana sifatnya makhluk, mana mungkin ada nama!.
Oleh itu, barang siapa yang masih menyebut nama Allah, sesungguhnya mereka itu, belum lagi dikatakan ingat kepada Allah(Zikrullah)!. Ingat kepada Allah(Zikrullah) itu, bukan pada namaNya. Ingat kepada Allah(Zikrullah) itu, setelah kenal(makrifat) tuan yang empunya nama!. Kenal(makrifat) tuan yang empunya nama, barulah dikatakan ingat !. Ingat kepada Allah(Zikrullah) itu, setelah sampai kepada tahap mengenal(makrifat) tuan yang empunya nama!. Mengenal(makrifat) tuan yang empunya nama itu pula, hendaklah sampai kepada tahap tidak lagi berhuruf dan biarlah sampai kepada tahap tidak lagi bersuara!. Yang tidak berjirim, yang tidak berjisim, yang tidak berhuruf dan yang tidak bersuara itu, itulah baru dikatakan sebenar-benar Allah……
Allah itu bersifat dengan sifat yang bersalahan sebagaimana sifat makhluk. . Sekiranya makhluk ada bentuk (ada sifat), pastinya Allah itu tidak ada bentuk dan tidak ada sifat. Sekiranya makhluk ada nama, Allah pasti tidak ada nama. Jika sekiranya Allah itu ada bentuk dan ada nama sebagaimana makhluk . Itu bukan Allah!. Sekiranya Allah ada nama dan makhluk juga ada mempunyai nama, apa bezanya dengan makhluk?. Sekiranya Allah ada sifat dan makhluk juga mempunyai sifat, apa bezanya antara Allah dengan makhluk . Menandakan Allah itu adalah Allah, yang sifatnya bersalahan dengan yang baharu, pastinya berbeza dengan sifat makhluk!. Bagi menentukan Allah itu tidak sama dengan sifat makhluk, hendaklah kedua-duanya mempunyai sifat yang berlawan atau sifat yang berbeza antara satu sama lain.
ALLAH ITU SEKADAR PENYATA BAGI NAMA.
Bilamana Allah ada(Wujud), makhluk bersifat tidak ada(binasa), bilamana Allah melihat, makhluk bersifat tidak melihat dan bilamana sifat makhluk bernama, sudah barang tentu Allah bersifat dengan sifat yang tidak bernama!. Panggilan Allah itu, adalah sekadar penyata bagi nama, bukan penyata bagi tuan!. Penyata bagi tuan yang empunya nama itu, adalah “rasa”.
ALLAH ITU, BERLAWANAN SIFATNYA DENGAN MAKHLUK!
Bilamana makhluk bersifat, Allah tidak bersifat. bilamana makhluk berbentuk, Allah tidak berbentuk. Bilamana makhluk bernama, Allah tidak bernama. dengan sifat ada bentuk, manakala Allah pula pasti tidak bersifat dan tidak berbentuk. Sekiranya makhluk ada sifat dan Allah juga ada nama, sekiranya makhluk ada nama dan Allah juga ada nama, apa bezanya Allah dengan makhluk?. Sekiranya makhluk ada nama, Allah pasti tidak ada nama, sekiranya makhluk ada sifat, Allah pasti tidak ada sifat. Kerana Allah itu sifatNya bersalahan dari yang baharu dan bersalahan dari sifat makhluk!.
ALLAH BUKAN SUARA DARI HALKUM!
Sekiranya masih lagi menyebut nama, bererti belum sepenuhnya ingat kepada Allah(Zikrullah)!. Ingat kepada Allah(Zikrullah) itu, bukan dengan menyebut namanya, ingat kepada Allah itu, adalah dengan cara “ ingat kepada tuan yang empunya nama!”. Tuan yang empunya nama itu pula, tidak berhuruf dan tidak bersuara, tidak berjirim dan tidak berjisim. Suara yang terkeluar dari kedua bibir mulut itu, adalah perkara yang masih bersifat suara dan masih bersifat jirim (huruf). Sedangkan Allah itu, sifatNya tidak berjirim atau berjisim!. Allah itu bukan huruf atau tulisan dan Allah itu, bukan suara sebagaimana suara yang terkeluar dari halkum!.
ALLAH BUKAN SUARA BIBIR MULUT!
Allah tidak sebagaimana suara yang terkeluar dari bibir. Suara yang terkeluar dari bibir mulut itu, berupa angin yang dihembus dari halkum. Hembusan angin yang terkeluar dari peti halkum dalam bentuk suara yang berbunyi nama atau dalam bentuk pangil-panggilan dengan sebutan nama Allah, itu bukan Allah. Yang berbunyi itu suara, manakala suara itu bukan Allah!. Suara bibir mulut makhluk itu, bukan Allah. Allah tidak berada pada peti suara (halkum) dan Allah tidak berada pada sebutan nama!.
INGAT ITU ADALAH TIDAK INGAT DAN TIDAK INGAT ITULAH YANG DIKATAKAN SEBENAR-BENAR INGAT!
Untuk ingat kepada Allah(Zikrullah) itu, kita tidak lagi perlu kepada dalil!. Bagi sesiapa yang masih lagi meraba-raba mencari dalil untuk ingat kepada Allah(Zikrullah), sesungguhnya mereka itu adalah golongan mereka-mereka yang belum ingat kepada Allah(Zikrullah).
Bagi sesiapa yang masih mencari-cari dalil untuk ingat kepada Allah(Zikrullah), itu tandanya mereka belum ingat kepada Allah(Zikrullah), mereka-mereka itu masih berada pada tahap mengingati dalil, bukannya ingat kepada Allah(Zikrullah) tetapi mereka hanya ingat kepada dalil!. Sedangkan Allah itu, bukan dalil. Allah itu adalah Allah!. Untuk ingat kepada Allah(Zikrullah) itu, kita sepatutnya tidak lagi perlu kepada dalil. Allah itu, bukan sesuatu, Sedangkan dalil itu, adalah merupakan sesuatu!. Yang berupa sesuatu itu, bukan Allah kerana Allah itu bukan sesuatu!. Untuk ingat kepada Allah(Zikrullah) itu, tidak lagi perlu kepada dalil!.
Jika sekiranya masih berdalil-dalil untuk ingat kepada Allah(Zikrullah), tandanya teramat jauh dari Allah. Bilamana teramat jauh dari Allah, bererti dalam keadaan teramat hampir kepada lupa kepada Allah. Apakah Allah itu tidak cukup terang dan apakah Allah itu, tidak cukup jelas sampai kepada mencari dalil untuk ingat kepada Allah(Zikrullah)?. Allah bukan sesuatu, kenapa masih mencari sesuatu untuk ingat kepada Allah(Zikrullah). Allah bukan sesuatu tetapi nyata pada sesuatu!. Kenapa perlu cari lagi?……….
Selagi masih berdalil untuk ingat kepada Allah(Zikrullah), sesungguhnya bukan dari golongan orang-orang yang ingat kepada Allah(Zikrullah)!. Mencari dalil Allah , dengan sebutan , mencari dalil Allah, dengan berzikir, mencari dalil Allah, dengan perbuatan, mencari dalil Allah dengan suara, mencari dalil Allah dengan sembahyang dan mencari dalil Allah dengan puasa. Kenapa perlu lagi kepada dalil?. Tidakkah Allah itu, teramat nyata dan teramat terang?.Tidak cukupkah Allah itu Allah!. Sesungguhnya Allah itulah Allah!.
Allah itu nyata, lebih nyata dari diri kita sendiri, kenapa perlu dalil?.
Allah itu terang, lebih terang dari cahaya matahari, kenapa perlui dalil?..
Yang baik dari ALLAH, yang buruk jua dari ALLAH sebagai tanda saya insan yang lemah dan tidak berdaya tanpa dengan izinNYA.

Tuesday 12 February 2013

Awaludin Makrifatullah

Awaludin Makrifatullah iaitu awal agama mengenal Allah. Sebelum kita beribadah seharusnya kita mengenal akan Tuhan iaitu Allah swt. Selepas mengenal akan diri-Nya barulah kita boleh beribadah. Bagaimanakah caranya untuk kita mengenal akan diri-Nya ataupun Makrifatullah?. Banyak caranya untuk kita mengenal akan diri-Nya. Imam Al Ghazali menganggap bahawa ilmu Tasawuf itu ialah tuntutan yang dapat menyampaikan manusia kepada mengenal Tuhan dengan sebenar-benarnya (Makrifatullah). Yang pertama tasawuf jalan Nabi-nabi dan yang keduanya tasawuf tarekat jalan Wali-wali. Kedua-dua tasawuf ini amat berbeza dengan ketara. Tasawuf jalan Nabi-nabi telah wujud sebelum junjungan besar kita Nabi Muhammad saw lagi, dan Tasawuf tarekat jalan wali-wali ini wujud selepas wafatnya junjungan kita. Tasawuf jalan Nabi-nabi mencapai makrifatullah dengan cepat dan mudah, manakala Tasawuf tarekat jalan wali-wali pula perlu berzikir dengan jumlah yang banyak, berperingkat-peringkat dan memakan waktu yang panjang dan lama untuk mencapai makrifatullah. Tasawuf tarekat jalan wali-wali ini ada bai'at, diajar zikir lisan, qalb dan sirr. Selepas itu perlu diam dan tunggu untuk sampai ke makrifatullah. Ini tidak diajar oleh Rasulullah, dan cuma berapa peratus sahaja yang mencapai makrifatullah. Dan kebanyakkan tarekat mengamalkan wahdatul wujud yang bercanggah dengan syarak Ahli Sunnah Wal Jamaah. Ada juga yang mempraktiskan "Rabitah" iaitu apabila diambang sakaratul maut guru atau mursyid atau syeikh mereka akan datang menjemput mereka. Dimana Rasulullah saw tiada berjanji dan melakukannya terhadap para sahabat ketika sakarat. Al Qushairi ada menulis bahawa Tarekat(sufi) sudah begitu mundur sehinggakan manusia tidak dapat lagi memahami hakikat jalan yang benar. Begitu juga Al Hujwiri ada menulis Allah menjadikan kita dikalangan manusia yang mencemarkan nama Syariat menurut hawa nafsu mereka. Sayid Sabiq juga ada menulis bahawa di dalam tasawuf masuklah kaum dajjal, kaum pencipta khurafat dan khayalan serta kaum penggangur, sehingga ketasaufan itu lalu digunakan sebagai lapangan kedajjalannya, bidang perkembangan khurafatnya serta sebagai mata pencarian hidupnya. Imam Syafii ada berkata "Seandainya ada seorang lelaki bertasawuf di awal siang, ia tidak sampai ke waktu zuhur kecuali telah dungu". Imam Hanbal pula berkata "Saya tidak mempertimbangkan anda sebaik bermajlis dengan mereka". Imam Malik berkata "Sesiapa yang bersyariah tanpa tasawuf adalah fasiq, sesiapa yang bertasawuf tanpa syariah adalah zindiq". Di zaman Saidina Ali ra diperintahkan orang yang berkepecayaan wahdatul wujud dibakar.

Monday 21 January 2013

Ilmu Jurus dan Nafas

Ilmu jurus dan nafas adalah salah satu ilmu yang diajar oleh para ulamak zaman dahulu. Ianya merupakan satu cara atau cabang untuk kita makrifat atau mengenal akan diri kita yang sebenar-benarnya dan seterusnya mengenal akan Allah SWT. Ilmu Allah amatlah luas, banyak perguruan-perguruan persilatan atau pertubuhan-pertubuhan mengamalkan ilmu jurus dan nafas. Mengamalkan amalan jurus dan nafas ini dapat mendidik jasmani dan juga rohani. Ada juga perguruan-perguruan yang mengatakan ianya mengaktifkan tenaga dalaman dan ianya tidak hanya pada kaum muslimin sahaja. Agama-agama selain dari islam juga mempercayai akan tenaga dalaman ini dan mereka pun mengamalkannya dengan kaedah atau cara mereka sendiri. Di nusantara ini memang amat terkenal dengan ilmu ini. Ulamak-ulamak zaman dahulu mengajarkan ilmu ini pada anak-anak muridnya disertakan dengan ilmu persilatan untuk tujuan mempertahankan diri dan Negara daripada kezaliman penjajah. Wallahualam

Sunday 20 January 2013

Nafas

Nafas adalah sesuatu yang seni dan tidak boleh dilihat dengan mata kasar tetapi boleh dirasai. Dari segi saintifik, nafas mempunyai oksigen yang memberi kehidupan kepada jasad. Tanpa oksigen yang cukup jasad akan menjadi lemah dan tidak stabil. Kita memerlukan oksigen yang banyak untuk menstabilkan jasad dan menenangkan fikiran. Itu sebabnya apabila seseorang berada dalam keadaan gusar, takut dan panik, dia perlu menarik nafas sepanjang-panjang dan sedalam-dalamnya bagi menenangkan fikiran dan perasaan.

Nafas ialah sesuatu yang bersifat cahaya (nur) dan adalah merupakan alat yang digunakan oleh roh dalam menyatukan dirinya dalam jasad. Nafas berada dimana-mana dan sentiasa keluar masuk dalam jasad dan ia tidak bertempat. Malah apabila nafas masuk ke dalam jasad ia mengembara dan melalui beberapa makam yang ada di dalam jasad. Nafas juga boleh terbang dan pergi sejauh yang tidak dapat kita sangkakan dan kemudiannya kembali kepada kita apabila kita memerlukannya. Nafas juga merupakan tali penghubung kepada Allah s.w.t bagi roh dan jasad.

Nafas perlu dipelihara dan dijaga dengan baik supaya apabila ia masuk kedalam jasad ia membawa perkara-perkara yang baik dan apabila keluar akan membawa perkara-perkara yang tidak baik dari jasad kita. Nafas mempunyai perhubungan yang penting seperti berikut:-

1.     Nafas adalah satu alat yang padanya izin Allah diletakkan.
2.     Nafas bertanggungjawab membawa sifatullah dari hati ke pelbagai pusat badan, fikiran dan roh.
3.     Nafas menimbulkan keseimbangan dan harmoni kepada sesuatu ragam badan.
4.     Nafas membawa unsur-unsur kehidupan dari luar badan ke dalam badan untuk fungsi-fungsi jasmaniah.

Nafas adalah pengatur suka, duka, gembira marah, dengki dan lain-lain emosi. Kuantiti dan kualiti nafas mempunyai kesan langsung dan tertentu terhadap kesihatan manusia. Pelbagai kejadian fizikal atau jasmaniah boleh mengubah, menutupi atau melitupi intipati ketuhanan yang dibawa dalam nafas.


Nafas adalah merupakan pertalian antara Tuhan Semesta Alam dengan manusia. Dari mula kita dilahirkan sehinggalah kita menghembuskan nafas yang terakhir, kita sebenarnya telah menggunakan nafas kita bagi tujuan suatu kehidupan. Setiap satu nafas yang digunakan adalah akan memendekkan jumlah keseluruhan nafas yang dipinjamkan oleh Allah s.w.t kepada kita. Maka oleh itu jaga dan hargailah nafas yang ada pada kita dan juga gunakanlah nafas itu kepada jalan kebenaran dan bukan sebaliknya.

Pengenalan

Assalamualaikum...
Kami menawarkan rawatan perubatan alternatif berasaskan kerohanian dengan tidak menggunakan khidmat jin, khadam, wali-wali dan sebagainya. Cara perubatan kami adalah dengan menggunakan kaedah pernafasan, jurus serta permohonan kepada Allah SWT. Jika sekiranya tuan-tuan menghadapi gangguan seperti sihir, gangguan jin atau syaitan, Insyaallah kami sedia membantu dengan izin Allah SWT. Sakit datangnya daripada Allah untuk menguji kita dan kesembuhan juga adalah dariNya jua. Jadi hendaklah kita bergantung pada Nya. Makhluk tidak boleh memudaratkan makhluk jika tidak dengan izin Nya. Jika tuan/puan menghadapi masalah seperti yang dinyatakan bolehlah menghubungi kami, Insyaallah kami sedia membantu. Hubungi kami di makrifathaq@gmail.com