Sunday 20 January 2013

Nafas

Nafas adalah sesuatu yang seni dan tidak boleh dilihat dengan mata kasar tetapi boleh dirasai. Dari segi saintifik, nafas mempunyai oksigen yang memberi kehidupan kepada jasad. Tanpa oksigen yang cukup jasad akan menjadi lemah dan tidak stabil. Kita memerlukan oksigen yang banyak untuk menstabilkan jasad dan menenangkan fikiran. Itu sebabnya apabila seseorang berada dalam keadaan gusar, takut dan panik, dia perlu menarik nafas sepanjang-panjang dan sedalam-dalamnya bagi menenangkan fikiran dan perasaan.

Nafas ialah sesuatu yang bersifat cahaya (nur) dan adalah merupakan alat yang digunakan oleh roh dalam menyatukan dirinya dalam jasad. Nafas berada dimana-mana dan sentiasa keluar masuk dalam jasad dan ia tidak bertempat. Malah apabila nafas masuk ke dalam jasad ia mengembara dan melalui beberapa makam yang ada di dalam jasad. Nafas juga boleh terbang dan pergi sejauh yang tidak dapat kita sangkakan dan kemudiannya kembali kepada kita apabila kita memerlukannya. Nafas juga merupakan tali penghubung kepada Allah s.w.t bagi roh dan jasad.

Nafas perlu dipelihara dan dijaga dengan baik supaya apabila ia masuk kedalam jasad ia membawa perkara-perkara yang baik dan apabila keluar akan membawa perkara-perkara yang tidak baik dari jasad kita. Nafas mempunyai perhubungan yang penting seperti berikut:-

1.     Nafas adalah satu alat yang padanya izin Allah diletakkan.
2.     Nafas bertanggungjawab membawa sifatullah dari hati ke pelbagai pusat badan, fikiran dan roh.
3.     Nafas menimbulkan keseimbangan dan harmoni kepada sesuatu ragam badan.
4.     Nafas membawa unsur-unsur kehidupan dari luar badan ke dalam badan untuk fungsi-fungsi jasmaniah.

Nafas adalah pengatur suka, duka, gembira marah, dengki dan lain-lain emosi. Kuantiti dan kualiti nafas mempunyai kesan langsung dan tertentu terhadap kesihatan manusia. Pelbagai kejadian fizikal atau jasmaniah boleh mengubah, menutupi atau melitupi intipati ketuhanan yang dibawa dalam nafas.


Nafas adalah merupakan pertalian antara Tuhan Semesta Alam dengan manusia. Dari mula kita dilahirkan sehinggalah kita menghembuskan nafas yang terakhir, kita sebenarnya telah menggunakan nafas kita bagi tujuan suatu kehidupan. Setiap satu nafas yang digunakan adalah akan memendekkan jumlah keseluruhan nafas yang dipinjamkan oleh Allah s.w.t kepada kita. Maka oleh itu jaga dan hargailah nafas yang ada pada kita dan juga gunakanlah nafas itu kepada jalan kebenaran dan bukan sebaliknya.

No comments:

Post a Comment